'Kalau minyak paket susah, beli yang botol' - Menteri KPDNKK

Menteri KPDNKK merangkap Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bercakap dalam sidang media di Dewan Rakyat Parlimen hari ini. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
KUALA LUMPUR  - "Jika mereka (rakyat) rasa susah beli minyak masak paket plastik dan mahu beli minyak masak botol yang lebih besar, silakan," demikian ujar Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah-BN) mengenai kenaikan harga minyak masak di pasaran bagi kategori 3kg dan 5kg.
Bagaimanapun menurut Hamzah lagi, rakyat yang mahu membeli minyak masak bagi kategori 3kg dan 5kg perlu membeli dengan harga pasaran dan bukan lagi harga subsidi.

"Kerajaan hanya memperuntukkan subsidi ke atas minyak masak paket plastik 1kg.
"Ada kumpulan yang memang memerlukan minyak masak tetapi tidak sanggup untuk membeli dengan harga yang tinggi," ujarnya.

Katanya lagi, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan semua kumpulan mampu membeli minyak masak.

"Sebab itu kerajaan memberikan subsidi kepada minyak masak paket plastik 1kg," katanya lagi.
Minggu lalu, Persatuan Pekilang-pekilang Minyak Makan Malaya (Meoma) mendakwa harga 1kg minyak masak paket plastik akan dinaikkan 40 sen kepada RM2.90, manakala minyak masak botol 5kg naik RM1.90 kepada RM15.25, mulai hari ini.
Bagaimanapun, Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani pada Khamis lalu dilaporkan berkata, rakyat akan terus menerima subsidi minyak masak daripada kerajaan.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »