Alor Gajah: Kecekapan Masitah Shahudin, 29, menangkap ikan keli pada pertandingan mengocak ikan sempena Fiesta Sukan Bendang 2016 Kampung Gadek, di sini, semalam, melayakkan diisytiharkan sebagai juara bagi kategori wanita.
Sejurus pertandingan dimulakan, wanita itu terus menangkap ikan keli di lumpur sehingga mengagumkan peserta lelaki dan pengunjung.
Kesungguhannya membolehkan dia menangkap 17 ikan keli, sekali gus menjadi juara dan mengetepikan peserta lain dalam acara itu.
“Ini adalah kali pertama saya sertai pertandingan mengocak, cuma sebelum ini sudah biasa meletakkan ikan keli sebagai umpan pada mata kail ketika memancing.
“Acara ini mungkin sukar bagi peserta wanita selain terpaksa meredah lumpur, walaupun hadiah sekadar hamper saya berasa amat seronok selepas mencubanya,” katanya.
Tempat kedua dimenangi Mirza Aisy Huda Sabirin manakala ketiga, Nur Irmairah Airen Mohd Sabaru.
Juara kategori lelaki dimenangi Mohd Faizol Samian, 30, naib juara, Mohd Firdaus Harun, 30, dan ketiga, Mohd Khairil Edy Herman, 17.