KUALA LUMPUR: Penderaan mental dan psikologi terhadap golongan suami, dikesan sebagai punca kepada kira-kira 70 peratus kes perceraian pasangan Islam di negara ini.
Perangkaan itu diperoleh hasil penilaian dan kajian pakar terhadap hampir 34,000 kes perceraian yang berlaku sepanjang 2014.
Penderaan mental disifatkan pakar, umpama 'bom jangka' kerana boleh meletup pada bila-bila masa serta menjadi penyumbang kepada masalah sosial lain seperti penderaan, jenayah seksual, khianat, membunuh serta bunuh diri.
Lelaki yang menjadi mangsa penderaan mental, disifatkan tidak mempunyai saluran tepat untuk mendapat bantuan serta nasihat, selain mereka sendiri terasa malu kerana gagal mengurus keluarga seperti diharapkan.
Pakar sosial yang juga Timbalan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata berdasarkan kajian umumnya sejak sedekad lalu, beliau tidak menolak kemungkinan majoriti pasangan berkahwin mengalami masalah sama, namun tidak dilaporkan.
Beliau berkata, kriteria lelaki yang menjadi mangsa penderaan mental adalah dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai keyakinan diri yang keterlaluan, membuatkan mereka mudah dimanipulasi dan didominasi oleh isteri sendiri.
"Sifat ini juga menyebabkan mereka sentiasa mengalah, tidak berani membuat keputusan, rendah diri dan sekali gus dilihat sebagai lelaki lemah sehingga pasangannya hilang hormat.
"Masalah dalaman ini jika tidak dibantu pada peringkat awal boleh mengundang kesan negatif dalam rumah tangga serta membentuk rantaian masalah yang panjang sehingga menggugat prestasi kerja, keluarga, masyarakat dan negara," katanya.
Sepanjang 2014, sebanyak 159,851 pernikahan direkodkan Jabatan Agama Islam Negeri di seluruh negara, dengan 33,842 perkahwinan berakhir perceraian, sementara 4,260 kes pasangan bercerai rujuk kembali.
Mohammad Shatar yang juga Profesor di Fakulti Ekologi Manusia UPM, berkata punca utama isu penderaan mental terhadap kaum lelaki adalah kurangnya pengetahuan mengenai fungsi dan cabaran perkahwinan dalam zaman yang sudah berubah.
"Wanita yang menyedari kelemahan suami, mengambil peluang melakukan perkara melampaui batas sebagai isteri dan ibu, sekali gus memberi tekanan mental dan psikologi terhadap suaminya.
"Antaranya tindakan isteri menolak hubungan intim, keluar rumah tanpa kebenaran, mengabaikan tanggungjawab dan mahu semua kehendaknya dituruti, walaupun salah," katanya.
Mohammad Shatar berkata, masalah itu sebenarnya boleh dicegah lebih awal menerusi amalan, prosedur dan proses perkahwinan supaya pasangan boleh menggunakan tempoh itu untuk memahami diri masing-masing.
"Sewajarnya kursus perkahwinan bukan dilihat sebagai komoditi perniagaan, tetapi landasan terbaik menilai semula kemampuan dan kekurangan pasangan sebelum memutuskan untuk hidup bersama.
"Sebagai analogi, seorang komando tentera memerlukan enam bulan latihan ketahanan mental sebelum jiwa patriotik dibentuk dan berupaya berkhidmat untuk negara.
"Begitu juga kursus perkahwinan untuk seumur hidup, seseorang memerlukan masa yang panjang untuk menilai semula, sama ada mereka boleh menjalani hidup sebagai satu pasangan atau pasukan yang baik atau tidak," katanya.
'Isteri acu pisau kerana ditegur sering keluar rumah'
"Saya pernah diancam pisau, hanya kerana menegur sikap isteri yang suka keluar rumah tanpa izin," dedah seorang pembantu tadbir sebuah jabatan kerajaan yang mendakwa menjadi mangsa penderaan mental.
Meskipun sudah tiga tahun berlalu, insiden itu menyebabkan lelaki berusia 33 tahun terbabit tertekan dan berdepan masalah rendah diri yang keterlaluan.
Bapa kepada dua anak perempuan berusia empat dan lapan tahun itu, mendakwa ancaman pisau oleh isterinya turut disaksikan anak sulung mereka hingga membuatkan kanak-kanak terbabit turut mengalami tekanan.
"Ancaman isteri membuatkan saya mengalami tekanan hingga membuat dua laporan polis memaklumkan kejadian itu selain bimbang akan gagal mengawal diri hingga mencederakan dirinya pula.
Anak sulung saya mengalami gangguan psikologi yang teruk hingga sukar tidur malam dan sering membuli serta mencederakan rakan sekolah.
Dia juga enggan tinggal bersama ibunya, sebaliknya mahu dijaga ibu saya yang juga neneknya beberapa kilometer dari kediaman kami," katanya yang mengahwini isterinya ada dasar suka sama suka pada 2006.
Katanya, percintaan selama tujuh tahun sebelum perkahwinan mereka, nyata bukan tiket kebahagiaan rumah tangga yang dibina.
Beliau berkata, isterinya yang juga penjawat awam berpangkat lebih tinggi, mula berubah sikap hingga tergamak mengabaikan tanggungjawab kepada suami dan anak-anak, termasuk sering keluar rumah selain ke tempat kerja selama beberapa hari, sejak dia jatuh sakit secara misteri pada 2010.
"Sejak itu, isteri sering meninggikan suara, mudah berang terhadap perkara remeh termasuk ketika bercakap dengan ibu saya, selain membaling barang dan bertindak melulu.
"Saya dan isteri pernah dipanggil ke pejabat agama untuk sesi kaunseling, namun dia enggan berubah sikap sehingga saya terpaksa memfailkan tindakan nusyuz terhadapnya tahun lalu.
"Tindakan nusyuz diambil kerana isteri saya masih dengan sikapnya yang hanya pulang ke rumah sesuka hati tanpa menghiraukan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu," katanya.
Beliau berkata, penderitaan mental yang dialami sejak lima tahun lalu semakin pulih hasil rawatan yang dilaluinya dan kini mempunyai kekuatan untuk meneruskan hidup sendirian bersama dua anak kesayangannya.