Jangan 'Terkejut & Marah' Jika Polis Bertindak Sabtu ini - Khalid Abu Bakar


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan PDRM akan menggunakan senjata terbaru bagi mengawal perhimpunan BERSIH5 dan Baju Merah pada 19 November 2016!
KUALA LUMPUR – Jangan marah dengan pihak polis apabila mereka mengambil tindakan terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang semasa perhimpunan BERSIH5 dan Baju Merah, Sabtu ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengeluarkan peringatan itu ketika bercakap pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Mesyuarat Kerjasama Latihan Aseanapol Ketujuh (APCTM) di Cheras hari ini.

“Sudah tentu kami bersedia (menangani himpunan).
“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa semua pihak perlu mengikuti undang-undang dan tidak marah dengan kita apabila kita mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak mengikut undang-undang, sama ada kuning atau Baju Merah,” kata Khalid lapor Malaysiakini.
BERSIH merancang untuk mengadakan perhimpunan berhampiran Dataran Merdeka Sabtu ini, manakala Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mengetuai Baju Merah, berikrar akan mengadakan himpunan balas pada hari yang sama.
Ketua Polis Negara juga memberi jaminan jika pihak polis menggunakan salah satu senjata terbaru untuk mengawal orang ramai pada Sabtu ini, ia akan mengikut undang-undang.
“Apa sahaja yang kita gunakan adalah untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku dan apa sahaja yang kita gunakan akan mengikut undang-undang.
“Tak perlu bimbang,” katanya.
Beliau juga berkata mereka akan mendedahkan kemudian jika terdapat sebarang penutupan jalan Sabtu ini.
Khalid berkata, adalah sukar bagi polis untuk merancang penutupan jalan apabila mereka tidak diberi maklumat yang cukup.
“Itu masalahnya apabila mereka tidak memberi kami notis yang cukup … ia sukar bagi kita untuk membuat persediaan,” katanya.
Beliau juga memberi jaminan bahawa anggota polis mencukupi pada Sabtu ini untuk memastikan keadaan terkawal.
loading...