Walau Diselubungi Kontroversi Gelaran Ijazah , Inilah Realiti Sebenar Program Motivasi Azizan Osman Selepas Kedoktorannya Dipertikai Ramai


KUALA LUMPUR — Walau diselubungi kontroversi gelaran ijazah kedoktoran, penceramah motivasi niaga Azizan Osman tetap tabah menganjurkan program-programnya.

Hari ini program beliau Millionaire Marketing Mastery (MMM) di sebuah kelab golf di Shah Alam dilaporkan mendapat sambutan ratusan peserta.

Masih dianggap layak dipanggil doktor, menurut maklumat di Facebook, Azizan “akan berkongsi ilmu dan hampir 200 tips pemasaran yang telah terbukti meletupkan perniagaan peserta-peserta program MMM sebelum ini.”

Akaun rasmi beliau di media sosial itu juga memuatkan beberapa keping foto ratusan peserta yang kelihatan tekun mendengar ceramahnya, selain kemesraannya berinteraksi dengan mereka.

Pada petang kelmarin pula, beliau dilaporkan meneruskan bimbingan kepada 100 peserta program syarikatnya Richworks International yang dinamakan Titanium Circle.

Lebih 100 usahawan ini, termasuk dari negara-negara jiran, digambarkan sebagai “kumpulan khas yang mendapat didikan langsung dari Azizan dalam tempoh setahun atau lebih.”

“Mereka adalah usahawan yang dibimbing sehingga mampu mengalami peningkatan luar biasa sehingga ada yang mampu mencapai jualan sebanyak RM6 juta walaupun hanya bermula dengan beberapa ribu ringgit sahaja setahun yang lalu,” menurut Facebook beliau lagi.

Dalam sesi ini, Azizan dikatakan berkongsi 15 perkara penting yang wajib ada pada usahawan yang mahu mengembangkan perniagaan mereka, terutama dalam mengatasi cabaran semasa dalam perniagaan.

Kontroversi gelar kedoktorannya mendapat perhatian media hujung bulan lalu apabila Universiti Malaya (UM) menafikan pernah menganugerah ijazah doktor kehormat keusahawanan kepadanya.

Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menafikan pernah memberi gelar kedoktoran.

Richworks mengakui Azizan “terpedaya” oleh pihak yang mendakwa mewakili UM. Syarikat itu juga mengakui tersilap mendakwa gelaran IUKL dan UKM tetapi menjelaskan Azizan tidak pernah mendakwa memiliki gelar tersebut.

Dalam kenyataannya minggu lalu, Richworks bagaimanapun tetap menegaskan Azizan masih memiliki ijazah kedoktoran dalam sains (metafizik) dari Gordon University di Florida, Amerika Syarikat sejak 2009.

Ia juga menyatakan Azizan dalam proses mendapatkan satu lagi gelar doktor falsafah, kali ini dalam bidang psikologi di Universiti Hertfordshire, United Kingdom.

“Konvokesyen beliau di Universiti Hertfordshire dijangka berlangsung dalam masa yang terdekat,” kata syarikat itu.

Namun, Universiti Hertfordshire menafikan terdapat butiran seseorang bernama “Azizan Osman” dalam rekodnya. Richworks setakat ini belum mengulas penafian universiti di UK itu.
loading...