Harimau Malaysia Menerima Perkhabaran Sedih Dengan Kehilangan kapten Safiq


JOHOR BAHRU 1 Jun - ,Skuad Harimau Malaysia menerima perkhabaran tidak menggembirakan menjelang aksi playoff kelayakan Piala Asia 2019 menentang Timor Leste apabila kapten mereka, Safiq Rahim disahkan tidak dapat beraksi dalam kedua-dua perlawanan pada 2 dan 6 Jun ini.

Perancang utama skuad kebangsaan itu gagal pulih daripada kecederaan paha yang dialami ketika membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalahkan PKNS FC 2-1 dalam final Piala FA, 14 Mei lalu.
Menurut Safiq, 28, kecederaan yang dialaminya mungkin mengambil masa lebih lama untuk pulih, dan dia dijangka cergas sepenuhnya seawal 10 Jun ini.

"Kecederaan yang disebabkan saluran darah pecah di paha kiri lebih serius daripada apa yang saya gambarkan dan mengambil masa yang panjang untuk pulih.

"Saya difahamkan ada kemungkinan kecederaan ini akan berulang dan kini saya perlu lebih berhati-hati dan tidak memaksa diri ketika menjalani latihan.

“Sampai saat ini saya masih belum boleh berlari seperti biasa," katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Safiq yang kini dalam proses pemulihan dilihat menjalani latihan ringan secara berasingan di Padang Seri Gelam semalam.

Walaupun tidak dapat berjuang di atas padang, Safiq mendoakan skuad kebangsaan di bawah pimpinan Datuk Ong Kim Swee mampu mengharumkan nama negara dengan melangkah lebih jauh dalam kejohanan berprestij itu.

"Saya amat berharap rakan sepasukan dapat memberi yang terbaik untuk memastikan Harimau Malaysia melangkah jauh dalam Piala Asia.

"Saya percaya mereka tahu tugas serta peranan masing-masing dan dapat mengikut taktikal jurulatih untuk memburu kemenangan," katanya.

loading...